Tuesday, June 17, 2014

Cara Menjawab Soalan Hipotesis

Hipotesis bermaksud 'kesimpulan awal' yang dibuat sebelum menjalankan eksperimen.
Setelah eksperimen dijalankan, barulah Kesimpulan dibuat berdasarkan keputusan yang diperolehi.

Dalam bahagian B Kertas Sains UPSR, Hipotesis merupakan salah satu soalan yang biasa disoal.

Soalan biasanya disertakan dengan satu ayat pernyataan yang mengandungi pembolehubah manipulasi (PM) dan pembolehubah bergerak balas (PB).

Murid dikehendaki mengenalpasti PM dan PB daripada ayat tersebut sebelum menulis atau menjawab soalan hipotesis,

Di dalam setiap ayat pernyataan tersebut, terdapat 'kata kunci' ataupun 'keyword' bagi mengenal pasti PM dan PB dengan tepat.  Antaranya ialah:

* mempengaruhi
* dipengaruhi oleh
* memberi kesan kepada
* bergantung kepada


Perlu diingat bahawa PB adalah hasil ataupun keputusan penyiasatan yang diperolehi selepas eksperimen dijalankan. Oleh itu, PB akan diperolehi kemudian, bukannya semasa permulaan eksperimen.

Ada sesuatu yang menyebabkan keputusan (PB) yang diperolehi berbeza, iaitu PM yang sememangnya telah ditentukan sebelum eksperimen dijalankan.

Bagaimana mengenal pasti PM dan PB menggunakan kata kunci tersebut?

Caranya ialah dengan mengingati ayat di bawah:

PM mempengaruhi PB

PB dipengaruhi oleh PM

PM memberi kesan kepada PB

PB bergantung kepada PM


Cara menjawab soalan hipotesis:

Sama seperti cara menjawab soalan 'Hubungan' dan soalan 'Kesimpulan', iaitu:

1. Corak PM, corak PB
2. Jika PM corak, maka PB corak
3. Jika PM...., maka PB ....


Contoh 1:

"Ketinggian model mempengaruhi masa untuk model tumbang"               
                              PM                                                                  PB

Jawapan: 
Semakin bertambah ketinggian model, semakin cepat masa untuk model tumbang

Contoh 2:

"Jarak yang dilalui troli dipengaruhi oleh jenis permukaan"
                                                PB                                                              PM

Jawapan: 
Semakin licin jenis permukaan, semakin jauh jarak yang dilalui troli


Contoh 3:

"Jisim pemberat memberi kesan kepada pemanjangan spring"
                                        PM                                                                      PB

Jawapan: Semakin bertambah jisim pemberat, semain bertambah pemanjangan spring


Contoh 4:

"Saiz pokok bergantung kepada jarak antara pokok"
PB                                                                 PM

Jawapan: Semakin bertambah jarak antara pokok, semakin bertambah saiz pokok


Contoh 5:

"Kehadiran air dan udara mempengaruhi keadaan paku besi"

Jawapan: Jika ada air dan udara, maka keadaan paku besi akan berkarat


Perlu diingatkan sekali lagi, hipotesis adalah kesimpulan awal sebelum menjalankan eksperimen, maka ia tidak semestinya tepat. Namun begitu, kita semestinya cuba membuat hipotesis yang betul berdasarkan ilmu yang telah kita pelajari.

Apa yang penting, PM dan PB hendaklah dikenalpasti dengan betul.


All the best!

Tuesday, April 15, 2014

Pembolehubah-Pembolehubah Eksperimen Mengikut Topik

Assalamualaikum & Salam sejahtera.

Untuk menjawab soalan Sains Bahagian B, mengetahui parameter / ciri-ciri bagi pembolehubah-pembolehubah dalam sesuatu eksperimen amatlah penting bagi mendapatkan markah. 

1. Haiwan:
* Jenis
* Saiz
* Jisim / Berat
* Bilangan
* Keadaan (sihat / tidak sihat / mati / hidup)

2. Tumbuhan:
* Jenis
* Ketinggian
* Saiz daun
* Bilangan daun
* Ukurlilit batang
* Warna daun
* Bilangan
* Keadaan (sihat / tidak sihat / mati / hidup)

3. Kehadiran 
* Kehadiran air / udara / makanan

4. Air
* Isipadu awal air
* Isipadu air selepas penyiasatan
* Jumlah air
* Bilangan renjisan air

5. Makanan
* Jisim / Berat makanan
* Kualiti makanan
* Kuantiti / Jumlah makanan

6. Suhu / Haba
* Suhu awal
* Suhu selepas penyiasatan
* Suhu persekitaran / tempat

7. Teknologi
* Kaedah (contoh: Kaedah membajak sawah, kaedah mencuci baju)
* Jenis (Contoh: Jenis mesin, jenis kenderaan)
* Masa diambil untuk melakukan kerja 
* Masa diambil untuk sampai

8. Mikroorganisma
* Bilangan tompok kulat
* Keadaan roti selepas penyiasatan
* Saiz awal doh
* Saiz doh selepas penyiasatan
* Ketinggian awal doh
* Ketinggian doh selepas penyiasatan
* Kesegaran roti semasa permulaan

9. Elektrik
* Jenis litar
* Bilangan bateri / sel kering
* Bilangan mentol
* Kecerahan mentol
* Keadaan mentol (menyala / tidak menyala)
* Panjang wayar
* Saiz mentol
* Saiz bateri / sel kering

10. Cahaya 
* Jarak antara objek dengan sumber cahaya
* Jarak antara objek dengan skrin
* Saiz bayang-bayang
* Ketinggian bayang-bayang

11. Sistem Suria
* Jarak/Kedudukan planet daripada Matahari
* Saiz orbit planet
* Suhu planet
* Masa diambil untuk melengkapkan satu pusingan mengelilingi Matahari

12. Bayang-bayang
* Tempat penyiasatan
* Masa penyiasatan
* Ketinggian bayang-bayang
* Kedudukan bayang-bayang
* Saiz  / Ketinggian objek
* Kedudukan objek

13. Kekuatan
* Jenis bahan
* Bentuk struktur
* Cara struktur diletakkan
* Jumlah / Bilangan objek yang dapat ditampung

14. Kestabilan
* Luas tapak model
* Ketinggian model
* Masa untuk tumbang / jatuh

15. Fasa Bulan
* Hari penyiasatan
* Tarikh penyiasatan
* Bentuk bulan yang dapat dilihat

16. Gerhana
* Masa penyiasatan
* Saiz Bulan / Matahari yang dapat dilihat
* Kecerahan tempat
* Suhu persekitaran
* Peringkat gerhana Bulan / Matahari

17. Pengawetan Makanan
* Jumlah / Kuantiti garam / gula
* Suhu persekitaran
* Masa diambil untuk rosak
* Tempoh masa makanan untuk bertahan
* Keadaan makanan selepas penyiasatan
* Kesegaran makanan semasa permulaan
* Tempat penyiasatan

18. Mesin Ringkas
* Jenis mesin
* Kaedah yang digunakan
* Masa diambil untuk melakukan kerja
* Bilangan mesin ringkas yang digunakan

19. Geseran
* Jenis permukaan
* Berat / Jisim objek
* Masa diambil untuk sampai
* Kesukaran / kebolehan untuk menarik / menolak objek
* Jarak yang dilalui

20. Kelajuan
* Ketinggian landasan
*Berat / jisim objek
* Saiz objek
* Masa diambil untuk sampai
* Jarak yang dilalui




Tuesday, February 25, 2014

Teknik Menjawab Soalan Sains Bahagian B (UPSR)

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.

Soalan Bahagian B Sains membawa sebanyak 40 markah. Biasanya set soalan Bahagian B mengandungi 4 atau 5 soalan mengikut topik-topik tertentu.

Untuk mendapatkan markah yang tinggi dalam bahagian B, anda mestilah:

1. Memahami dan menguasai topik-topik yang dipelajari.
2. Dapat mengenalpasti PM (Pembolehubah Manipulasi) dan PB (Pembolehubah Bergerakbalas) dengan betul kerana kedua-duanya akan digunakan untuk menjawab hampir semua soalan.
3. Mengetahui teknik / cara menjawab setiap soalan.

Antara soalan yang biasa disoal di dalam bahagian B ialah:

1. Dua maklumat
    Cara: Kenalpasti dan tuliskan sahaja tajuk PM dan PB.

* Jangan lupa parameter / ciri bagi objek / bahan yang dieksperimenkan. Contoh: Jenis, saiz, jisim, ketinggian, warna, kelajuan, bilangan, kehadiran, jumlah, kualiti.

2. Pembolehubah yang diMalarkan (PML)
    Cara: Nyatakan apa yang sama di dalam setiap eksperimen yang dijalankan.

3. Tujuan
    Cara: UMHA PM dan PB (Untuk menyiasat/mengkaji hubungan antara Pembolehubah Manipulasi dan Pembolehubah Bergerakbalas)

4. Pemerhatian (berdasarkan jawapan Inferens)
    Cara pertama: Bandingkan PB
    Cara kedua: PB corak perubahan

5. Inferens (Berdasarkan jawapan Pemerhatian)
    Cara: 
    i.    Jawab soalan pemerhatian terlebih dahulu, tetapi pastikan anda membaca sepenuhnya soalan inferens dan benar-benar faham kehendak soalan.
    ii.   Isi (poin) jawapan adalah berkaitan dengan topik soalan.  

Contoh topik: Kestabilan/ Stabil 
Contoh jawapan: Kerana struktur P lebih stabil daripada struktur Q.

    iii.  Jika anda membandingkan PB pada jawapan Pemerhatian, maka Inferens pun mesti banding. 
Contoh:
Pemerhatian: Bilangan buku yang dapat ditampung oleh buku A lebih banyak berbanding B.
Inferens : Kerana struktur A lebih kuat berbanding B.

    iv.  Jika anda memberikan PB corak perubahan pada jawapan Pemerhatian, maka Inferens pun letakkan corak perubahan yang sesuai. 
Contoh: 
Pemerhatian : Bilangan harimau semakin berkurang.
Inferens: Kerana semakin banyak hutan ditebang menyebabkan harimau kekurangan sumber makanan.

* Cara kedua (PB corak) biasanya digunakan ketika menjawab soalan berkaitan aktiviti yang dijalankan di satu kawasan yang sama seperti bilangan haiwan di sesuatu kawasan, saiz fasa bulan, peringkat gerhana, panjang bayang-bayang, dan lain-lain yang bersesuaian.

*Menggunakan cara kedua (Bandingkan PB) lebih digalakkan.

6. Hubungan / Kesimpulan
    Cara: 
    i.   Corak PM, corak PB
    ii.   Jika PM corak, maka PB corak
    iii.  Apabila PM corak, PB corak

* PM mesti ditulis dahulu, kemudian baru PB.

7. Corak perubahan
    Cara: Bertambah / Berkurang / Tiada perubahan  

* Saya galakkan murid saya meletakkan perkataan 'Semakin' di hadapan 'Bertambah' dan 'Berkurang'  (Semakin bertambah, Semakin berkurang)

8. (a) Ramalkan (nombor)
    Contoh Soalan: Ramalkan bilangan harimau pada tahun 2020.
    Contoh Jawapan: 50 ekor
   
    (b) Ramalkan (ayat)
    Contoh Soalan: Ramalkan apa yang akan terjadi kepada harimau sekiranya tiada langkah pemuliharaan dilakukan.
    Contoh jawapan: Harimau akan pupus.

Berikan tumpuan sepenuhnya di dalam kelas semasa guru mengajar. Fokus memang penting supaya anda memahami apa yang disampaikan oleh guru, dan juga menguasai apa yang sepatutnya anda perlu tahu. 

Jika tidak faham, jangan malu / takut untuk bertanya. 

Di rumah, baca semula topik-topik yang telah dipelajari.

Banyakkan latihan menjawab soalan-soalan Bahagian A dan B supaya lebih mahir.

Practice makes perfect.

Usaha tangga kejayaan.

Yang penting,

Usaha, doa & tawakal.  :)
 



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...